Jika anda Muslim, anda pasti percaya dan yakin. Al-quran itu adalah Kalam Allah. Kata-kata daripada Allah. Maka, atas dasar itu. Siapa yang ikut Al-Quran. Pasti jiwanya tenang. Pasti urusan hidupnya mudah. Kemudian harinya mewah.
Nak tahu sebab apa?
Sebab, apabila Allah berfirman dalam Al-Quran, maka itu adalah teguran. Boleh jadi juga firmannya itu panduan & peta kehidupan untuk kita (hamba-Nya) gunakan.
Berita baiknya pada hari ini, saya gembira untuk berkongsi 5 teguran Allah kepada Rasul-Nya. Insya-allah, akan buatkan usahawan online atau offline tenang & bahagia. Jom mengembara bersama saya.
Saya akan cuba sampaikan dengan ayat yang mudah difahami. Ini dia 5 teguran Allah kepada Nabi SAW...
1. Hanya Allah SWT Yang Boleh Memberikan Petunjuk (hidayah)
Masa mula-mula Islam diisytiharkan, banyak cemuhan, tentangan & ugutan daripada puak Quraish. Namun, Abu Talib (pakcik Nabi) adalah orang yang menjadi benteng untuk Nabi SAW teruskan berdakwah.
Sayangnya, Abu Talib mati dalam kekufuran. Lantaran itu, Nabi SAW bersedih. Lalu baginda pun bersabda:
“Sungguh, aku akan mintakan keampunan untukmu (abu talib), selama aku tidak dilarang”.
Oleh itu, Allah SWT telah tegur Nabi SAW menerusi ayat-Nya:
“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka bahwa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam”.
(At Taubah, 9: 113)
Ayat ni memberitahu kita. Kita hanya berusaha. Yang memberi hidayat & petunjuk itu adalah Allah. Yang membolakkan hati manusia juga Allah Azza Wa Jalla.
2. Jangan Bersikap Pilih Kasih
Ketika Baginda jalankan operasi dakwah di Makkah, Baginda merasakan bahawa Islam akan lebih mudah tersebar jika lebih ramai golongan kaya dan bangsawan memeluk agama Islam.
Pada suatu hari, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berdakwah kepada golongan bangsawan, tiba-tiba datanglah Abdullah Bin Ummi Maktum (seorang yang buta dan miskin) kepada Nabi Muhammad SAW bertanyakan tentang Islam.
Nabi Muhammad SAW tidak melayaninya & berpaling meneruskan dakwahnya kepada golongan bangsawan tersebut.
Terus ditegur oleh Allah SWT dalam surah A’basa. (Boleh buka tafsirnya)
3. Jangan Berjanji Kecuali dengan 'Insya Allah'.
Pada suatu hari, Nabi SAW ditanya oleh orang Quraish tentang 3 soalan ganjil daripada Pendeta Yahudi.
Sekiranya Nabi dapat jawab, maka benarlah bahawa Nabi Muhammad SAW ini adalah Nabi. Sekiranya tidak, maka orang Quraish ada poin untuk menghebahkan kepalsuan kenabian Nabi Muhammad SAW.
Apabila diajukan 3 soalan ini, lantas Nabi SAW bersabda, “Aku akan menjawab pertanyaan kalian besok.” (tanpa mengucapkan insya-allah)
Nabi SAW sangka, esok Allah akan turunkan wahyu. Tapi bila keesokkan harinya, wahyu belum turun. Apa lagi, Nabi SAW dicemuh, dimaki, dituduh & bermacam-macam lagi.
Sehinggalah pada hari ke-15, barulah Jibril datang membawa wahyu yang menegur Nabi Muhammad SAW:
“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu: Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi, kecuali (dengan menyebut); ‘Insya Allah’. Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku lebih dekat (kebenarannya) daripada ini”
(Al-Kahfi, 18:23-24)
4. Menjaga Bacaan Al-Qur’an dan Jangan Tergesa-gesa.
Ketika Nabi Muhammad SAW menerima wahyu, baginda akan menjadi sangat bimbang jika baginda akan terlupa satu ayat, satu perkataan mahupun satu huruf.
Sehingga apabila Jibril (AS) menyampaikan wahyu, Rasulullah dengan pantasnya akan mengulangi terus perkataan demi perkataan, untuk menghafalnya dengan cepat.
Perbuatan ini telah ditegur oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
“Janganlah engkau (wahai Muhammad) – Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).”
(Surah Al-Qiyamah ayat 16 – 19)
5. Berlemah lembut dan berhikmah dalam Berdakwah.
Dalam berdakwah, Nabi SAW juga manusia. Yang punya hati & perasaan. Maka disebabkan itu, Allah menegur & menyuruh Nabi SAW seperti dalam firmannya:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu Muhammad) engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kamu.
Oleh itu, maafkan mereka (terhadap kesalahan mereka terhadap kamu) dan pohonlah keampunan bagi mereka.
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu.
Kemudian apabila engkau berazam (sesudah bermesyuarat untuk melakukan sesuatu) maka bertawakal kepada Allah,
sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang yang bertawakal pada-Nya.”
(Surah Ali-Imran, ayat 159)
Sekurangnya 5 pengajaran bermakna untuk usahawan praktikkan.
Ia disimpulkan seperti beritkut:
1. Hanya Allah SWT beri petunjuk.
Dah buat macam-macam. Dah cuba pelbagai teknik close-deal & close-sale. Tapi, tetap orang tak beli. Nak tahu sebab apa?
Sebab, Allah belum buka pintu hati dia untuk beli barang awak.
Jadi, mintalah pada Allah agar dibukakan pintu itu. Mudah je sebenarnya jika Pemilik Hati yang bukakan. Tak perlu mengayat sangat. Terus orang beli.
2. Jangan bersikap pilih kasih.
Banyak saya lihat, sikap pilih kasih dikalangan usahawan. Bila yang bekerjasama dengan kita itu adalah orang ternama.
Layan macam VVIP kelas pertama. Tapi, bila tak ada nama. Mulalah kita pandang sebelah mata.
Kita tak tahu. Orang yang mula-mula kita pandang lekeh itu akan jadi siapa pada masa hadapan. Maka, layankan sebaik mungkin. Walaupun mereka itu orang yang kita tak kenal.
3. Jangan berjanji kecuali ‘Insya-Allah’.
Banyak berjanji. Esok jumpa di sekian tempat. Pada masa yang telah ditetapkan. Tapi, jarang ucapkan ‘insya-allah’.
Seolah-olah kita yakin, kita masih hidup. Allah tak suka. Bila Allah tak suka, hilang keberkatan berniaga.
Lepas ini, tambah perkataan insya-allah dalam setiap janji yang kita buat. Kita akan dapati, urusan itu jadi semakin mudah. Insya-Allah.
4. Menerima ilmu jangan tergesa-gesa.
Tergesa-gesa bukanlah pilihan yang baik. Cepat dengan tergesa-gesa adalah satu perkara yang berlainan.
Cepat adalah tindakan kita. Tergesa-gesa pula adalah perasaan kita untuk dapat sesuatu secara cepat tanpa ilmu. Tanpa kita selidiki. Tanpa kita tahu implikasi & kesan atas tindakan yang kita buat.
Itu dia tergesa-gesa. Seeloknya, dapatkan ilmu dahulu sebelum berniat melakukan sebarang keputusan.
5. Berlemah lembut & bijak dalam membuat pemasaran.
Ada yang setuju, ada yang tidak. Ada yang kata, kita mesti bertegas setiap masa. Ada yang kata berlembut sepenuh masa.
Ikut cara Nabi SAW senang. Berlembut semasa berdakwah. Bertegas semasa menegakkan perihal agama.
Apa yang penting. Kita tahu, di mana kita perlu berlembut. Di mana kita perlu bertegas. Cengih setiap masa, bukanlah amalam Nabi SAW.
Akhir kata.
Semoga 5 teguran Allah kepada Nabi SAW. Dan 5 pengajaran ini menambah ilmu anda dalam menguruskan pelanggan.
Saya akhiri dengan serangkap pantun:
Islam itu mudah.
Mudahkan segala urusan.
Jangan dipilih payah.
Jika dipilih, celaka badan.
Credit to:
http://farisosman.com - Semoga apa yang dikongsikan oleh beliau kita memperolehi manfaat daripadanya.